[VIDEO] PRN Johor: 'Kita tidak pernah bergaduh, bermanja dengan PH' - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak pernah bergaduh jauh sekali bermanja dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

**media[3571265]**

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pihak mengekalkan hubungan profesional walaupun bertembung di gelanggang pilihan raya.

"Kita tidak pernah bergaduh dan kita tidak pernah bermanja. Maksudnya kita berkempen secara bersopan, menyantuni isu, mendepani isu dan menangani permasalahan. Itu lebih baik.

"Kita membezakan isu di peringkat nasional yang perlu ditangani bersama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan persaingan di peringkat negeri. Kita juga tidak menyerang antara satu sama lain secara keterlaluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mengulas mengenai hubungan antara BN dan PH semasa kempen PRN Johor termasuk isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggunakan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak wajar.

Anwar berkata, projek strategik itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan yang masih melalui proses antara kerajaan Malaysia dan Singapura, selain menegaskan ia tidak sepatutnya dijadikan modal politik ketika kempen kerana pelaksanaannya turut dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun pada Sabtu, Onn Hafiz mendakwa, kenyataan Perdana Menteri berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat serta pelabur.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, sekiranya terdapat kenyataan daripada mana-mana pihak yang boleh mengeruhkan keadaan, semua pihak perlu bertindak meredakan situasi dan bukannya memburukkan lagi hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Beberapa pendekatan telah kami ambil. Antaranya, kami tidak menyerang antara satu sama lain walaupun bertanding di gelanggang yang sama, khususnya di Johor dan selepas ini di Negeri Sembilan.

"Kami juga tidak melakukan serangan bersifat 'below the belt'. Jika ada mana-mana pihak yang tersasul, sama ada dari sebelah sana atau sebelah sini, kita perlu segera meredakan keadaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, amalan demokrasi yang matang perlu diterjemahkan menerusi persaingan idea serta tawaran kepada rakyat, bukannya serangan peribadi atau usaha menjatuhkan kredibiliti lawan.

"Yang penting demokrasi ini harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya. Kemenangan seseorang calon bukan kerana serangan yang hebat terhadap pihak lawan, tetapi kerana calon yang diketengahkan itu berkualiti dan diyakini rakyat.

"Kita sepatutnya mempromosikan kekuatan calon masing-masing dan bukannya menghentam atau cuba menjatuhkan parti lain. Itu bukan budaya UMNO dan Barisan Nasional," katanya.

Beliau turut mengulangi keyakinan bahawa rakyat Johor akan terus memberikan mandat kepada BN bagi memastikan kestabilan politik negeri dapat dikekalkan.

Menurutnya, kerajaan BN di Johor telah ditubuhkan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, justeru kesinambungan pentadbiran penting bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.